KUALA LUMPUR: Hujan lebat sejak subuh tidak menghalang calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk meneruskan kempennya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
Malah menurut Mohamed Affandi, keadaan hujan berterusan itu menjadi kelebihan baginya bertemu seramai mungkin pengundi.
“Saya tidak membuang masa kerana masa bagi saya emas. Sebanyak mungkin saya cuba bertemu pengundi sejak subuh tadi. Hujan ini tak dapat kita hindar, malah kalau di beberapa tempat ia menjadi kelebihan kerana orang ramai berkumpul sebab hujan.
“Jadi ia jadi satu kelebihan sebenarnya, bukan halangan,” katanya ketika ditemui selepas program ramah mesra bersama jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Chabang di sini, hari ini.
Memasuki hari kedua kempen hari ini, beliau yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera itu berkata sambutan yang diterima daripada pengundi yang ditemui setakat ini begitu menggalakkan.
Dalam masa sama beliau turut gembira dengan semangat luar biasa ditampilkan jentera-jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) yang membantu melancarkan perjalanan kempennya.
“Saya telah bertemu banyak (jentera kempen) dan saya nampak memang kali ini luar biasa. (Kali ini) saya lihat BN dan komponen lain di bawah Kerajaan Perpaduan, mereka saya nampak ada kesatuan dan matlamat yang jelas dan nyata,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov ini bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Dis bagi hari mengundi untuk PRK Kemaman yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU15.
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – BERNAMA