Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember ini.
Perkara itu diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK Parlimen Kemaman di Menara Dato’ Onn hari ini.
Ahmad Zahid berkata, keputusan meletakkan bekas Panglima ATM berusia 65 tahun itu dipersetujui pimpinan Dewan Tertinggi BN serta pemimpin akar umbi BN di Parlimen Kemaman.
Meyakini sokongan rakyat akan berpihak kepada BN pada kali ini, Ahmad Zahid berkata, Kemaman bukanlah kubu kuat Pas, namun kemenangan yang diperolehi mereka sebelum ini adalah bersandarkan fitnah dan tohmahan sehingga menyebabkan BN tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Kita sudah lihat latar belakang di Kemaman dalam PRUke-15, biarpun BN tidak cukup 27,000 undi untuk menduduki kerusi Parlimen Kemaman, kita rasakan Kemaman bukan kubu kuat Pas, tetapi disebabkan terjahan isu fitnah dan juga simbahan kebencian terhadap UMNO dan BN, serta menggunakan sumber kewangan luar biasa pada ketika itu,
“Kali ini kita letakkan tokoh yang luar dari bidang politik dan beliau telah menyatakan kesediaannya atas tawaran yang diberikan, beliau berhasrat ingin membalas kembali jasa UMNO setelah keberadaannya dalam kerjaya beliau atas jasa UMNO,” katanya pada sidang media, hari ini.
Raja Mohamed Affandi, 65, yang dilahirkan di Besut pernah tersenarai sebagai calon untuk di parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.
Untuk rekod, Parlimen Kemaman sebelum ini menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh keseluruhan 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.
Sementara itu, dua calon lain iaitu dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rosli Ab Ghani mendapat 506 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi).
Dalam pada itu, Raja Mohamed Affandi menyifatkan tawaran tersebut adalah atas dasar kepercayaan yang tinggi sekali gus beliau membayar balik jasa yang telah diterima.
“Kalau sesuatu yang datang secara tiba-tiba, biasanya ia datang dari hati kita. Saya ucapkan terima kasih kepada pimpinan kerana telah memilih saya, diterjunkan saya ke Kemaman dan saya sahut seruan itu.
“Saya telah berkhidmat 43 tahun, atas apa yang saya lalui ini, saya fikir panjang sebab apabila diberikan tawaran ini, saya fikir sudah sampai masa untuk saya berikan kembali pada negara seleps 40 tahun berkhidmat. Nilai kepercayaan yang tinggi itu saya akan bayar balik,” ujarnya