Malaysia Hargai 121 Negara Yang Berani Bersuara Menentang Keganasan Israel

KUALA LUMPUR: Malaysia menghargai 121 negara yang berani untuk bersuara demi kemanusiaan dan menyokong resolusi Gaza yang ditaja oleh Jordan, bersama dengan 46 negara lain termasuk Malaysia, yang menyeru untuk gencatan senjata segera dan berkekalan antara Israel dan Hamas di Gaza.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Datuk Ahmad Faisal Muhamad berkata resolusi yang diluluskan semasa Sidang Khas Tergempar ke-10 (ESS) Majlis Agung PBB (UNGA) itu juga merupakan langkah penting pertama yang diambil di PBB, membawa kembali sinar harapan, dan kepercayaan dalam proses multilateral.

“Penerimaan resolusi ini adalah tanda bahawa kami di PBB, mendengar ratapan rakyat di seluruh dunia, menuntut penghentian segera pembunuhan mereka yang tidak bersalah di Gaza,” katanya dalam penyampaian kenyataan Malaysia di sesi tergempar itu yang bersambung pada Selasa.

Resolusi berjudul “Perlindungan Warga Sivil dan Mematuhi Kewajipan Undang-undang dan Kemanusiaan” telah diluluskan dengan 120 undi mendukung, 14 menentang, dan 45 tidak mengundi semasa ESS ke-10 UNGA di New York pada Jumaat lepas.

Ahmad Faisal berkata Malaysia turut serta dengan negara-negara lain menuntut gencatan senjata segera di Gaza, dan menambah kata bahawa ini adalah sangat penting untuk menghentikan lebih banyak kehilangan nyawa selain kerja-kerja bantuan kemanusiaan dapat dilaksanakan.

“Kami menyeru penubuhan koridor kemanusiaan, serta akses kemanusiaan yang tidak terhalang, agar bantuan dapat sampai kepada mereka yang memerlukannya di seluruh Gaza. Bekalan elektrik, air, dan bahan api juga harus dipulihkan. Semua ini adalah keperluan untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.

Malaysia juga secara tegas menolak apa-apa tindakan pengusiran paksa penduduk Gaza, di mana 1.4 juta, atau 62 peratus daripada penduduknya hilang tempat tinggal.

Ahmad Faisal juga menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk bertindak terhadap resolusi UNGA itu dengan mengambil tindakan segera, sebulat suara dan jelas.

“Ketiadaan tindakan akan menjadikan kita bersubahat dalam jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza,” katanya, mencatat peranan proaktif UNGA berbanding dengan ketidakberkesanan Majlis Keselamatan.

Beliau menyatakan kekecewaan Malaysia terhadp Majlis Keselamatan yang jelas lumpuh disebabkan oleh kepentingan sempit beberapa negara anggota.

Ahmad Faisal juga memberi penghormatan kepada wira-wira kemanusiaan yang berkhidmat di Gaza, menekankan keperluan menjaga keselamatan mereka.

Memandangan keadaan kemanusiaan yang teruk di Gaza, selain sebagai penyumbang tetap kepada UNWRA, Malaysia mengumumkan sumbangan kecemasan tambahan kepada agensi itu.

“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, tiga lagi kakitangan UNWRA terbunuh, membawa jumlah keseluruhan kepada 67 yang maut, sejak peperangan bermula. Kami bersama-sama yang lain sedih kerana kehilangan 67 kakitangan UNWRA ini,” tambahnya.

Malaysia tetap kukuh dalam sokongannya kepada penubuhan negara Palestin yang bebas dan merdeka, selaras dengan penyelesaian dua negara, berdasarkan sempadan-sempadan sebelum tahun 1967 dengan Jerusalem Timur sebagai ibu kotanya. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles