KUALA LUMPUR: PAS mempersoal usaha membersihkan imej UMNO selepas pemimpin utamanya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terpalit dengan pertuduhan rasuah.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi perumpamaan jika mahu membersihkan sesuatu kotoran itu, tindakan dengan memasuki tong najis akan lebih memudaratkan bukan membersihkan.
“Kamu boleh lihat kerajaan Pakatan Harapan, siapa dalam dia, nak cuci macam mana? Banduan ada, bekas perasuah pun ada, kluster mahkamah pun ada macam mana kami (PAS) nak ikut.
“Kalau kita nak bersihkan najis, tidak boleh masuk dalam tong najis. Kita duduk di luar sahaja,” katanya menjawab kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini.
Asyraf Wajdi sebelum itu berkata, UMNO akan kembali “dibersihkan” jika PAS menyertai Kerajaan Perpaduan.
Ujarnya, sekiranya kerjasama itu menjadi realiti, UMNO tidak lagi ditohmah dengan pelbagai kata-kata tidak elok seperti fatwa “mengkafir” atau “menyesatkan” mana-mana pihak terutama terhadap parti yang berbeza ideologi.
Dalam pada itu Abdul Hadi berkata, jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk PAS menyertai Kerajaan Perpaduan hanya dibuat kepada media asing bukan kepada parti itu sendiri.
“Jemputan (PAS sertai kerajaan) dibuat melalui media antarabangsa, tidak kepada Pas,” katanya lagi.
Anwar dalam wawancara bersama Time Magazine mengatakan beliau pernah menjemput PAS menganggotai Kerajaan Perpaduan, tahun lalu.
Bagaimanapun, Anwar berkata, PAS sebaliknya bertindak menolak tawarannya ketika itu.