Syarikat Pembekalan Beras Di Kedah Terlibat Penyelewengan Bernilai RM100 Juta

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membongkar satu kegiatan penipuan oleh sebuah syarikat pembekalan beras di negeri Kedah yang menyebabkan berlaku kepincangan dalam proses pengedaran dan penjualan bahan makan ruji negara itu.

Sumber berkata, syarikat itu telah mendapat kontrak pembekalan beras daripada sebuah syarikat pertanian milik kerajaan negeri tersebut yang membabitkan nilai lebih RM100 juta setahun kira-kira tujuh tahun lalu bagi pembekalan beras di Semenanjung Malaysia.

Jelas sumber itu lagi, berdasarkan kontrak itu syarikat terbabit telah membuat pinjaman bank kira-kira RM30 juta sebagai pembiayaan bagi projek bekalan beras tersebut beberapa tahun yang lalu.

“Siasatan mendapati pengarah syarikat tersebut telah berpakat dengan seorang ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan negeri terbabit untuk mengesahkan pembelian dan penghantaran sebanyak 28,000 tan beras setahun membabitkan nilai lebih RM100 juta namun pembekalan tersebut tidak dibuat seperti dipersetujui.

“Syarikat tersebut dikatakan telah pun menerima amaun kira-kira RM30 juta itu menerusi beberapa transaksi perbankan,” katanya.

Tambah sumber itu lagi, suspek terbabit juga dikatakan telah mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran matan yang palsu kepada pihak bank untuk proses permohonan pembiayaan pinjaman bagi projek bekalan beras tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi hari ini telah mengesahkan berkaitan siasatan tersebut.

Ujar beliau, kes berkenaan sedang dijalankan siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

BBerkaitan

Latest articles