Kuala Lumpur — Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Vietnam yang berakhir semalam bukan sahaja mengukuhkan lagi hubungan diplomatik Malaysia-Vietnam tetapi sebagai pemula kepada penerokaan pelbagai sektor berkepentingan baharu bagi kedua-dua negara.
Ini termasuk dalam bidang pertanian, halal, pertahanan dan keselamatan, pendidikan dan pembangunan modal insan.
Anwar yang diiringi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam lawatan itu bukan sahaja diberi sambutan hamparan permaidani merah oleh Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh di Istana Presiden tetapi juga diberi ruang bertemu empat tokoh kepimpinan paling berpengaruh dalam struktur pentadbiran Vietnam.
Anwar yang membuat lawatan sulung ke Vietnam sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November tahun lalu, turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya, selain bertemu Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam (CPV) Ngunyen Phu Trong.
Perdana Menteri juga mengadakan kunjungan hormat terhadap Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam Vuong Dinh Hue dan Presiden Vietnam Vo Van Thuong serta bertukar-tukar pandangan dengan pemimpin berkenaan.
Dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin paling berpengaruh Vietnam itu, Anwar turut mengambil peluang untuk menjelaskan dasar-dasar baharu kerajaan Malaysia pimpinannya.
“Kali ini Yang Amat Berhormat diberi peluang untuk bertemu dengan seluruh strata kepimpinan di Vietnam ini. Ini adalah satu pengiktirafan kepada Yang Amat Berhormat,” kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kepada wartawan Malaysia.
Sementara itu, semasa menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Vietnam di sini, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mempelawa pelabur Vietnam ke Malaysia dengan memberi jaminan akan memudahkan proses pelaburan berkenaan.
Anwar dan rakan sejawatannya turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Kerjasama di antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dengan Dewan Perniagaan dan Industri Vietnam (VCCI) bagi mengukuhkan lagi jalinan kerjasama dua hala Malaysia dan Vietnam yang akan memberi keuntungan kepada rakyat kedua-dua negara.
Dalam lawatan itu, Anwar dan Chinh juga menyaksikan majlis menandatangani pengesahan dokumen minit hasil Mesyuarat ke-7 Suruhanjaya Bersama Antara Malaysia dan Vietnam (JCM-7).
Sebelum berlepas pulang ke ibu negara semalam, Anwar yang turut disertai Dr Zambry, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata lawatannya menerima sambutan amat baik di Vietnam.
“Lawatan rasmi ke Vietnam ini mendapat sambutan amat baik di sini. Saya dapat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, Presiden Vietnam, Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam dan Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam,” katanya.