KUALA LUMPUR: Datuk Seri Azalina Othman Said berikrar untuk menangani isu undang-undang lapuk dan melaksanakan pindaan diperlukan supaya relevan dengan keadaan semasa.
Azalina yang dilantik sebagai Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi dalam kabinet Perpaduan berkata, antara pindaan itu termasuk pemisahan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya untuk memelihara kebebasan budi bicara Pendakwa Raya.
“Saya juga akan memastikan isu-isu yang perlu diberi perhatian, termasuk status kewarganegaraan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia akan terus menyaksikan kemajuan berterusan dan mana diperlukan, undang-undang akan diperbaharui untuk mengembalikan semula hak kepada golongan rentan, terpinggir dan mereka yang tidak menerima layanan sama rata dalam negara kita,” katanya.
Dalam kenyataan berkenaan juga Azalina berkata terdapat banyak cabaran di hadapan menanti perjalanan Kerajaan Perpaduan ini, mengambil kira kesan pandemik Covid-19 dan jangkaan kemelesatan ekonomi tahun depan.
“Portfolio saya terajui membabitkan aktiviti yang merentas kerajaan, saya sedia untuk bekerjasama dengan wakil rakyat yang dipilih daripada pelbagai parti untuk menangani cabaran ini,” katanya.