DAP Mahu Ahli Fahami Asas Pembentukan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: DAP setuju dengan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) kerana ia bukan hanya melibatkan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid seorang sahaja.

Sehubungan itu Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook mahu ahli akar umbinya menerima kerjasama yang dibentuk bagi membolehkan Kerajaan Perpaduan diwujudkan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.

“Ini bukan hanya mengenai Ahmad Zahid, ini adalah Kerajaan Perpaduan yang turut disertai BN. Itu prinsip yang semua orang dalam DAP faham, kita kerjasama dengan BN,” katanya dalam sidang media selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Kabinet di Istana Negara hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, dua mesyuarat dibuat oleh beliau dengan kepimpinan DAP dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dan juga 40 ahli Parlimen pada 20 dan 22 November lalu mengenai kerjasama berkenaan.

Ditanya mengenai keberadaan Ahmad Zahid dalam Kabinet, Anthony berkata, perkara itu harus diletakkan di tangan mahkamah untuk diputuskan.

Jelasnya, DAP tidak akan menyentuh mengenai kes yang dihadapi oleh Presiden UMNO itu.

“Itu terpulang kepada mahkamah (untuk tentukan kes Ahmad Zahid), kita hanya bincangkan agenda negara bukan kes masing masing.

“Ia tak akan disentuh dan dibincang kes peribadi masing-masing, hanya agenda untuk rakyat dan negara. Itu pendirian kita,’” jawab Anthony.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan menegaskan bahawa DAP tidak meletakkan sebarang syarat dalam menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, pihaknya juga tidak memberikan syarat agar satu-satu kementerian diberikan kepada DAP dalam pembentukan Kabinet.

“Tak ada syarat adalah dari segi komposisi untuk DAP. Kita bagi sokongan kepada PM, tak kata, saya mesti jadi menteri itu dan ini. Tak pernah sebut nak balik Kementerian Pengangkutan.

“Tidak sama sekali, seperti kerajaan PH terdahulu, DAP pegang Kementerian Kewangan. Tak ada syarat itu kalau Anwar nak sokongan kita,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles