KUALA LUMPUR: Kerusi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang sepatutnya ditandingi Pakatan Harapan (PH) menerusi Amanah, tidak akan diteruskan.
Sebaliknya Amanah mengambil keputusan memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada 7 Disember ini.
Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Mohd Hatta Md. Ramli, keputusan itu dibuat sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan peringkat negeri dan nasional yang dimeterai antara Pakatan Harapan (PH) dengan BN.
Calon Pakatan Harapan bagi DUN Tioman diwakili oleh Amanah, Mohd Fadzli Mohd Ramli manakala calon BN pula Datuk Seri Mohd Johari Hussain.
Mohd Hatta menyifatkan, pilihan raya DUN Tioman merupakan satu pertembungan kerajaan baharu Pahang dengan kelompok ekstremisme kaum dan agama yang perlu ditangani secara serius.
“Atas semangat itu, Amanah melihat keperluan untuk mewujudkan perpaduan erat komponen kerajaan negeri dalam menentang calon Perikatan Nasional (PN).
“Bagi memenangkan calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan ini, jentera pilihan raya PH akan bergerak secara bersama dalam setiap kempen BN dalam pilihan raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berharap dengan kerjasama itu, keutuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat diperkuatkan demi kepentingan rakyat, agama dan negara.
Dalam pada itu, Amanah menjunjung kasih atas perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bagi pembentukan kerajaan Pahang pimpinan PH dan BN semalam.
Katanya, Amanah juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas perkenan Pemangku Raja Pahang untuk dilantik sebagai Menteri Besar Pahang.