KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi mengulangu bahawa gabungan itu mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
Susulan itu, Anwar yang juga Presiden PKR, yakin beliau akan diberi peluang untuk menjadi Perdana Menteri.
Namun Anwar dalam masa yang sama enggan menyatakan parti atau mana-mana Ahli Parlimen yang akan bekerjasama dengan PH.
“Sejak semalam sudah cukup (112 kerusi Parlimen). Seperti yang saya kata semalam, ia sudah selesai.
“Bagaimanapun, saya mahu ia dilakukan dengan cara yang betul. Biar mereka (parti atau Ahli Parlimen yang akan bekerjasama) mengeluarkan kenyataan sendiri.
“Apa pun, saya gembira kerana kita sudah menyelesaikannya. Saya fikir dengan sokongan yang diperoleh, saya yakin, insya-Allah, saya akan diberi peluang untuk menerajui negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita di luar kediamannya di Kajang, malam ini.