KUALA TERENGGANU: Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini bukan medan tempur yang mudah buat Barisan Nasional (BN).
Justeru itu, Annuar mengingatkan BN perlu berusaha sebaik mungkin untuk meraih sokongan pengundi demi memastikan kemenangan menjadi milik parti berkenaan.
“Sebenarnya, cabaran yang perlu dihadapi BN adalah sangat besar. Saya secara jujur menyatakan kalau rakan-rakan dalam BN merasakan ini adalah satu pilihan raya yang mudah, saya berpendapat kita silap,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, terdapat beberapa faktor yang akan menjadi penanda aras dan mampu mempengaruhi pengundi dalam memilih calon sokongan pada PRU15.
“Pada PRU15, kita berdepan banyak faktor yang tidak ada sebelum ini. Pertamanya, kita menghadapi jumlah pengundi muda yang cukup ramai apabila ada Undi18.
“Kedua, kita melalui episod pertukaran tiga kerajaan yang menyebabkan rakyat akan membuat penilaian terhadap ketiga-tiga tempoh berkenaan. Selain itu, ada masalah dalaman UMNO sendiri yang perlu diuruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama UMNO Cawangan Kampung Pulau Bahagia, di sini, malam tadi.
Bukan itu sahaja, Annuar turut mengingatkan bahawa semua parti yang bertanding memberikan saingan yang sengit, bergantung pada kawasan masing-masing.
“Semua parti (memberi saingan yang) sengit, bergantung pada kawasan. Lain kawasan, lain parti yang memberi tentangan sengit sebab bukan semua parti kuat di semua kawasan.
“Parti terutama BN, PN (Perikatan Nasional) serta PH (Pakatan Harapan) dilihat memberi tentangan sengit di kebanyakan tempat dan undi banyak berpecah.
“Jadi, saya merasakan pilihan raya ini sangat mencabar dan bukan satu laluan mudah,” tambahnya.
Turut hadir majlis itu, calon mewakili BN bertanding di kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat.