KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia menggesa semua majikan dalam sektor swasta memberi kebenaran kepada pekerja bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi selaras peruntukkan di bawah subseksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan menegaskan mana-mana majikan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah subseksyen 25(1) Akta 5 boleh didakwa dan didenda RM5,000 atau penjara setahun jika disabitkan kesalahan.
“Majikan perlu berbincang dengan pekerja pilihan pemberian ‘time-off’, hari pelepasan berganti atau cuti tahunan bagi tujuan itu.
“Pemberian time off boleh diberikan kepada pekerja yang mengundi di kawasan berhampiran, manakala mereka yang mengambil masa untuk ke pusat pengundian masing-masing dibolehkan mengambil pelepasan berganti atau cuti tahunan yang perlu diberikan oleh majikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan, majikan tidak dibenarkan untuk mengenakan sebarang penalti atau memotong gaji pekerja yang tidak hadir bekerja kerana mengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi PRU15.