TAIPING: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Taiping, Neow Choo Seong mahu mengembalikan semula Taiping sebagai destinasi pelancongan, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Choo Seong berkata, Taiping mempunyai potensi besar untuk dimajukan, terutama dari segi industri pelacongan sekaligus menjana ekonomi setempat selain memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.
“Saya ingat ketika saya kecil-kecil dulu, tempat ini sungguh meriah, jangan kata meriah sahaja sebaliknya kami semua hidup bersatu dan saling hormat menghormati serta menerima semua (kaum) dengan seadanya. Didikan dan sifat itu terus kekal sehingga kini.
“Tempat kita ini indah dari segi pelancongan, besar sungguh potensinya dalam bidang pelancongan. Dari segi pembangunan infrastruktur, iaitu dalam pemuliharaan dan pemeliharaan bandar warisan Taiping.
“Dari segi warisan, saya tidak perlu cakap betapa kayanya kita dengan sejarah Taiping itu sendiri. Seingat saya tidak ada apa-apa yang telah ‘revitalise’ seperti Zoo Taiping, Taman Tasik Taiping, Bukit Larut dan sebagainya terutamanya dalam bab kemudahan serta pengurusan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tambah beliau, sejak DAP menguasai Parlimen Taiping selama hampir 15 tahun ini, kemeriahan tempat ini semakin suram.
“DAP walaupun sudah kuasai tempat ini sejak 15 tahun, tiga penggal namun apakah peranan mereka dalam menonjolkan kawasan ini? Taiping sudah tidak meriah lagi, semakin hari semakin suram,” tambahnya.
Choo Seong berkata, bukan sahaja pembangunan di Taiping terbantut sebaliknya isu-isu melibatkan masyarakat setempat juga semakin seperti tidak diberi perhatian sewajarnya.
“Banyak yang sudah berubah di sini. Pelbagai isu meruncing sudah tidak diberikan perhatian sebaliknya lebih banyak politiking oleh pemimpin yang diberikan kepercayaan dan mandat.
“Wakil rakyat yang diundi rakyat dengan harapan besar ini tidak pula menunjukan kesungguhan seperti di pentas politik, kita tidak nampak pembangunan yang mampan dan perancangan jitu untuk membangunkan sosio-ekonomi bandar Taiping ini,”
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, kebolehan Choo Seong berbahasa Melayu dengan fasih membuktikan beliau seorang yang mementingkan perpaduan dan keharmonian.
“Walapun saya berbangsa Cina, tetapi saya banyak bergaul dengan orang Melayu dan inilah semangat sebenar sebabagai rakyat Malaysia.
“Ini juga merupakan konsep yang ingin dibawa selaras dengan konsep perjuangan Barisan Nasional yang mementingkan semua kaum.
“Bahasa merapatkan saya dengan orang lain, dari situ saya dapat belajar adat dan budaya bangsa lain,” katanya lagi kepada Malaysiagazatte.
Choo Seong, berkata demikian bagi mengulas mengenai kefasihan beliau bertutur menggunakan bahasa Melayu.