KUALA LUMPUR: Baru beberapa bulan ditubuhkan, krisis Parti Bangsa Malaysia (PBM) semakin kelihatan apabila kedua-dua pemimpin utama dan atasan saling ‘berebut’ sebagai presiden parti itu.
Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha, berkata Datuk Seri Zuraida Kamaruddin dilantik sebagai presiden pada persidangan agung tahunan parti itu pada 7 Oktober lalu dan telah diperakui dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi ke-6 yang lalu.
“Panggilan untuk mengadakan mesyuarat ini adalah termaktub dalam Fasal 21 (1) Perlembagaan PBM.
“… yang membolehkan Majlis Tertinggi Parti Bangsa Malaysia atas permintaan bertulis oleh sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah keseluruhan ahli-ahli Majlis Tertinggi Parti Bangsa Malaysia untuk diadakan satu mesyuarat bagi menyelesaikan isu-isu tertentu,” katanya dalam kenyataan.
Haniza berkata demikian merujuk kenyataan Sng di Facebooknya hari ini yang mempersoalkan status presiden PBM.
Sehubungan itu, PBM perlu mengadakan satu mesyuarat pada 3 November ini, dan menggesa Larry Sng hadir bagi menjawa status jawatan nombor satu parti itu.
Terdahulu, Sng mengumumkan penggantungan setiausaha agung dan ketua penerangan PBM berkuat kuasa serta-merta.
Dalam kenyataan di Facebook, Sng berkata Hizwan Ahmad dan Zakaria Abdul Hamid digantung berhubung mesyuarat majlis tertinggi parti pada 7 Oktober lalu, yang melantik Zuraida sebagai presiden.
Hizwan dan Zakaria merupakan bekas ahli PKR dan dilihat “orang kuat” Zuraida.
Sng mendakwa tindakan itu sebagai wujudnya muslihat politik, sekaligus menjejaskan kepimpinannya dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli PBM serta masyarakat umum.
Semalam, Sng menegaskan beliau masih presiden PBM dan akan menandatangani surat watikah calon untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Sng turut mendakwa tidak pernah meninggalkan jawatan nombor satu parti, dan akan bertanding pada PRU15 atas tiket PBM.