KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pihaknya masih membincangkan soal penyertaan MUDA ke dalam gabungan itu.
“Sedang diteliti,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Muktamar Sanawi dan Persidangan Antarabangsa Kosmopolitan Islam anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), hari ini.
Sebelum ini, Naib Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata PH akan menubuhkan jawatankuasa rundingan bagi membincangkan niat MUDA untuk menyertai gabungan tersebut.
Salahuddin berkata, rundingan itu sebagai langkah penglibatan dengan MUDA selain menjelaskan parameter yang harus dimaklumkan kepada parti yang berhasrat untuk menyertai PH.
Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini dilaporkan, berkata parti itu bersetuju menyertai PH sebagai antara parti komponen dalam gabungan bagi menghadapi PRU15 selain terbuka mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH.
Sementara itu Anwar memaklumkan PH masih belum memuktamadkan pembahagian kerusi gabungan ini sempena Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) kelak.
Malah rundingan kerusi melibatkan gabungan itu masih lagi berjalan.
“Itu sedang dirundingkan (semua kerusi ditandingi PH),” katanya.
Semalam, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyebut gabungan itu menyasarkan untuk menyelesaikan isu rundingan kerusi menjelang 30 September depan.