PAS Dakwa Wujud Doktrin Paksa Anak Muda Benci Politik

 

ALOR SETAR: Media kini menjadi perantara kepada generasi muda untuk menjadi alat propaganda yang secara tidak sedar menyebabkan golongan itu membenci politik.

 

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa ajaran itu menyusup masuk ke dalam rumah-rumah umat Islam tanpa sebarang sekatan dengan manipulasi konsep kebebasan bersuara.

 

“Sehinggakan anak-anak muda didoktrin tanpa sedar untuk membenci atau muak dengan politik dengan politik dan menganggapnya sebagai urusan yang terpisah daripada agama,” kata Abdul Hadi dalam Perutusan Presiden PAS sempena Muktamar Pemuda PAS Malaysia ke-63, hari ini.

 

Dalam ucapannya juga, Ahli Parlimen Marang itu mendakwa anak muda lebih memilih untuk menjadi pemerhati berbanding terlibat secara langsung dengan parti politik.

 

Sedangkan, suara anak muda sangat diperlukan untuk melakukan tajdid dan islah dalam pentabiran negara.

 

Menurut beliau, sejarah Islam pernah beberapa kali menyaksikan berlakunya kebangkitan Islam yang dipimpin oleh golongan muda dan dikuatkan dengan hikmah dan pengalaman golongan tuan.

 

Anak muda kata Abdul Hadi, perlu sedar bahawa mereka generasi yang akan menggantikan pemimpin-pemimpin yang sedia ada pada masa akan datang.

 

“Jadi apa yang harus dilakukan oleh anak muda ini ialah memantapkan ilmu dan kefahaman, di samping melibatkan diri dalam memilih dan menentukan pemimpin yang terbaik untuk mentadbir negara ke arah kesejahteraan,” katanya.

 

Sementara itu Abdul Hadi meminta supaya Pemuda PAS dapat menghayati peranan mereka yang sebenar khususnya dalam menggerakkan agenda parti bagi menjuarai isu-isu anak muda.

 

“Pemuda Pas haruskan menjadi barisan hadapan yang akan membenteng jemaah daripada diterobos masuk oleh musuh Islam yang sentiasa mencari peluang untuk melemahkan kita dari segenap arah.”

 

 

 

 

BBerkaitan

Latest articles