PM Arah Empat Agensi Buat Sidang Media Harian Ops Banjir

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua agensi terlibat dengan bencana banjir mengadakan sidang media harian Ops Banjir.

Ia bertujuan memastikan rakyat mendapat maklumat terkini dan sahih mengenai situasi banjir serta persediaan yang perlu dalam menghadapi bencana itu.

“Rakyat perlu mendapatkan maklumat jelas, sahih dan terkini mengenai situasi semasa bencana banjir yang melanda beberapa negeri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Empat agensi yang dinyatakan itu adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ismail Sabri menyenaraikan urutan sidang media yang akan dimulakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada 10 pagi, diikuti Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang pada 12 tengah hari.

Pada 2 petang pula ialah Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid serta Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr Aminuddin Hassim pada 4 petang.

“Saya yakin laporan ini dapat memberi gambaran jelas situasi terkini bencana di seluruh negara.”

Katanya, penglibatan semua barisan hadapan kerajaan yang membantu bencana itu harus berada di tahap sentiasa bersedia.

BBerkaitan

Latest articles