Keadaan Beransur Pulih, Harga Barangan Dijangka Stabil Tahun Hadapan

 

BERA: Pelbagai faktor yang menyumbang kepada peningkatan harga sehingga membebankan pengguna sejak akhir-akhir ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun percaya, harga barangan kembali stabil pada awal tahun hadapan, selepas lebih banyak negara membuka sektor ekonomi masing-masing.

“Kita ternak ayam tetapi makanan ayam datang dari luar, begitu juga dengan baja dan racun yang diimport dari luar…bila barang sedikit, permintaan banyak, tentu sahaja akan menyebabkan harga naik.

“Saya percaya keadaan ini akan beransur pulih apabila sektor ekonomi masing-masing dibuka dan pengeluaran akan kembali normal dan kita jangka Insya-Allah pada awal tahun depan harga kembali stabil,” katanya ketika berucap pada Program Khatan Perdana Parlimen Bera di Dewan Majlis Daerah Bera Padang Luas, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan menyedari rungutan pengguna berkenaan harga barangan dan kerana itulah bertindak menganjurkan program jualan murah yang menawarkan harga barang yang rendah selain memberi peruntukan dan insentif kepada golongan terkesan.

“Untuk bantu kurangkan beban rakyat, saya dimaklumkan harga barang di program jualan murah menawarkan diskaun 20 hingga 50 peratus selain kita juga beri insentif dan subsidi racun kepada petani… harga barang dijangka pulih awal tahun depan,” katanya.

Malah beliau memaklumkan kerajaan akan melaksanakan pelbagai lagi inisiatif untuk membantu pengguna.

Begitu juga peruntukan tambahan sehingga RM500 juta yang diterima Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk meningkatkan infrastruktur di kawasan luar bandar.

“Peruntukan itu telah ditambah bagi memastikan penduduk luar bandar turut menerima faedah-faedah antaranya kemudahan dari segi jalan kampung dan sebagainya,” kata Perdana Menteri.

Mengulas mengenai program hari ini, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata program seumpama itu dilihat menerapkan konsep Keluarga Malaysia yang dapat mengeratkan hubungan pelbagai bangsa apabila ia turut disertai kaum Cina dan India.

“Bersama-sama kita dapat rapatkan hubungan sesama kita selaras dengan konsep Keluarga Malaysia, malah Keluarga Malaysia ini menerapkan supaya kita jaga keluarga orang lain seperti keluarga sendiri,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles