UMNO Sambut Baik Pandangan YDPA

UMNO menyifatkan pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa persidangan Dewan Rakyat boleh dilakukan semasa tempoh darurat membuktikan baginda mengutamakan prinsip Keluhuran Perlembagaan.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, sehubungan dengan titah baginda, maka setiap cabang sistem demokrasi negara perlu akur kepada prinsip Rukun Negara termasuk kerajaan (Eksekutif).

Kebijaksaan Al-Sultan Abdullah itu juga membuktikan baginda sebagai Ketua Negara yang memayungi rakyatnya meletakkan sistem demokrasi berparlimen pada tahap amat tinggi.

“Pendirian agar Parlimen kembali bersidang sesegera mungkin adalah selari dengan hasrat memelihara peranan ‘legislative oversight’ atau semak dan imbang yang dimainkan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Shahril berkata pendirian itu mendorong kepimpinan UMNO sebelum ini menggesa suatu solusi yang membenarkan persidangan Parlimen tanpa membelakangi titah Seri Paduka mengenai Pengisytiharan Proklamasi Darurat.

Al-Sultan Abdullah pada semalam menzahirkan pandangan bahawa Dewan Rakyat boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Menurut Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Untuk rekod pada 12 Januari lalu, Al-Sultan Abdullah memberi Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles