Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyampaikan khabar gembira kepada seluruh rakyat Malaysia, bahawa vaksin Pfizer-BioNTech akan tiba di Malaysia pada 21 Februari ini.
Sehubungan itu ujarnya, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Februari depan.
“Saya sendiri akan menerima suntikan vaksin pada hari tersebut bersama-sama petugas barisan hadapan.
“Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mengandungi tiga fasa, iaitu fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan bermula pada 26 Februari sehingga April 2021,” katanya ketika berucap merasmikan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini, yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Manakala fasa kedua program itu akan bermula pada bulan April sehingga Ogos depan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi.
Fasa ketiga pula akan melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas bermula dari bulan Mei 2021 sehingga Februari tahun depan.
Muhyiddin berkata program imunisasi kebangsaan ini adalah untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti, sekaligus sebagai usaha memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19, dan dapat menamatkan pandemik di negara ini.
“Ringkasnya, vaksinasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga yang tersayang – iaitu ahli keluarga, rakan kerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti,” ujarnya.
Di majlis yang sama, Muhyiddin turut melancarkan laman web www.VaksinCovid.gov.my di mana rakyat negara ini boleh memuat turun buku panduan ini untuk rujukan masa akan datang.