Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam tempoh antara 1 Ogos ini atau selewat-lewatnya 60 hari selepas itu.
Tambah Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi, memandangkan tempoh PRU15 semakin hampir, beliau mengingatkan setiap ahli dan kepimpinan parti memastikan UMNO memenangi pilihan raya itu.
“Paling utama bagi kita ialah memastikan UMNO memenangi PRU itu atau sekurang-kurangnya UMNO adalah sebahagian pasukan yang menang.
“Oleh itu, tanggungjawab para nakhoda adalah mengemudi ke arah kejayaan, bukan ke arah menghancurkan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.
Annuar turut menasihatkan ‘para juragan perlu terus mendayung, bekerja kuat secara berpasukan untuk membawa parti ke destinasinya’
Dalam masa yang sama beliau turut menasihatkan ahli jangan sombong, bongkak, hasad dengki atau jangan pepat di luar rencong di dalam.
“Berkata benar, berterus terang dan sabar bila difitnah. Insya_Allah kebenaran dan kemenangan menanti di hadapan.
“Yang penting UMNO selamat, kekal diyakini dan disayangi rakyat,” katanya.