Ramai juga yang hairan mengapa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan seolah-olah mengambil langkah berdiam diri dalam isu membabitkan kemelut UMNO.
Dalam satu hantaran di Facebooknya, Mohamad atau mesra disapa Tok Mat memberikan alasan mengapa beliau membisu dalam perkembangan politik tanah air hari ini.
Lebih menarik, alasan itu diberikan dalam bentuk puisi.
“Ramai orang tertanya tanya..
Mengapa saya membisu seribu bahasa..
Bagi saya, biarlah ribut ni reda..
Saya tak mau menambah duka..
Yang penting parti mesti di perkasa..
PRU 15 kita nak jadi juara..,” ujarnya.
Sebelum ini, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dilihat tidak memberikan respon terhadap politik negara terutama sekali dalam UMNO.
UMNO, sekali lagi dikritik selepas satu surat yang dipercayai ditulis oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan yang memohon Ahli-ahli Parlimen parti itu menyokong diadakan persidangan khas Parlimen untuk membincangkan isu berkaitan Ordinan Darurat.
Bagaimanapun setakat ini dua pemimpin UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Tan Sri Annuar Musa menolak cadangan berkenaan.
Dalam masa yang sama, Tok Mat mengingatkan para pemimpin dan ahli-ahli parti sentiasa bersatu dan mengukuhkan ikatan.
Ini kerana, jika UMNO berpecah pasti ada yang bersorak gembira dan bertepuk tangan.
“Susunlah langkah menuju hala..
Pakat pakatlah untuk bertenang seia sekata..
Jangan parti berkecamuk dan bergelora..
PRU 15 mesti jadi Keutamaan kita..
Bila sampai masa pemilihan parti untuk dikota..
Pilihlah nanti pemimpin kesukaan kita..
Ketika itu tepuk dada tanyalah selera..
Jika itu satu2 nya cara..
Untuk tenangkan jiwa yang lara,” ujarnya.