4 Adun PPBM Akui Hilang Kepercayaan, Mukhriz Anggap Masih Lagi Menteri Besar

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah dan Ayer Hangat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) malam tadi mengesahkan mereka hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta memberi sokongan kepada pembentukan kerajaan negeri baharu.

Memetik laporan  BERNAMA, ADUN Ayer Hangat, Juhari Bulat, berkata keputusan itu dibuat supaya sealiran dengan kepimpinan BERSATU peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Keputusan ini juga dibuat supaya kami di peringkat negeri sealiran dengan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Perdana Menteri. Jadi kami di peringkat negeri mahu ikut kepemimpinan peringkat persekutuan,” katanya.

Juhari yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkata, keputusan beliau juga mendapat sokongan di peringkat akar umbi DUN Ayer Hangat.

“Saya dah minta pendapat ahli pada peringkat akar umbi. Mereka setuju dengan keputusan yang diambil. Kami ada bot baharu yang ‘mai’. Jadi kami ambil keputusan untuk naik bot itu,” katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Mohd Firdaus ketika menjelaskan keputusannya menegaskan, tidak timbul soal lompat parti berikutan keputusannya itu, sebaliknya beliau kekal bersama BERSATU mengikut kepemimpinan di peringkat pusat.

Baca 
23 ADUN KEDAH UMUM HILANG KEPERCAYAAN KE ATAS MUKHRIZ MAHATHIR

“Janganlah keliru atau terpedaya kata kami empat wakil rakyat BERSATU keluar parti atau lompat parti. Kami masih lagi di dalam parti BERSATU. Cuma kami ikut hala tuju dan arahan parti serta presiden parti sekarang ni,” katanya.

Dalam pada itu perkembangan terkini di Kedah,Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan dirinya masih lagi Menteri Besar Kedah meskipun banyak kenyataan yang dikeluarkan menyatakan beliau sudah hilang sokongan majoriti.

Bagi Mukhriz beliau masih menteri besar sehingga usul tidak percaya diluluskan di Dewan Undangan Negeri sekaligus menepis dakwaan Pengarah Pilihan Raya PAS Muhamad Sanusi Md Nor yang mendakwa kerajaan negeri itu telah jatuh.

“Suasana politik di kedah masih terkawal, saya masih lagi Menteri Besar dan kerajaan masih lagi wujud, tak benar dakwaan mana-mana pihak kerajaan ini telah jatuh semalam,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, Rabu.

Turut menyifatkan tindakan Sanusi sebagai ‘gelojoh’, Mukhriz berkata terdapat beberapa proses yang perlu diambil kira sebagai saluran yang betul sekiranya ingin menukar kerajaan.

“Kita tak buat keputusan berdasarkan sidang media kerana dalam hal ini ia memerlukan koresponden secara rasmi dari pihak berautoriti. Bukan dari pembangkang melalui sidang media, kita kena patuh pada perlembagaan negeri Kedah.

“Kenapa dikatakan semua ini perlu diselesaikan secepat mungkin? Sebelum 18 Mei, apa kaitan 18 Mei dengan Kedah kerana itu adalah tarikh parlimen?” soalnya lagi.

Menegaskan perkara itu, usul undi tidak percaya ini seharusnya dikemukakan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh pihak pembangkang kerana cara itu lebih terbuka.

“Jika di pihak sana ada jumlah yang mencukupi, maka hilang majoriti bagi kerajaan, proses itu akan berjalan macam biasa,” jelasnya.

Tambah Mukhriz lagi, setakat ini perkara itu belum lagi dikemukakan kepada pejabat Sultan Kedah.

BBerkaitan

Latest articles