Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini menyertai beberapa pemimpin dunia dalam menggesa kolaborasi global untuk menyegerakan usaha dalam penghasilan vaksin untuk Covid-19 yang telah menjejaskan dunia dengan teruk.
Bercakap pada pelancaran pemecut Akses kepada Peralatan (ACT) Covid-19 dihoskan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menerusi tele-sidang yang disiarkan secara langsung, beliau menawarkan sokongan penuh Malaysia terhadap kerjasama global penting itu.
Beliau berkata dunia perlu saling bekerjasama untuk menyegerakan pembangunan dan pengeluaran peralatan dan vaksin serta memastikan akses samarata di peringkat global terhadap teknologi kesihatan penting yang baharu bagi Covid-19.
“Malaysia komited sepenuhnya untuk menjadi sebahagian usaha yang terikat dengan masa ini dan turut serta dalam penghasilan dan pembuatan beberapa peralatan dan vaksin ini sebaik sahaja diperlukan.
“Saya menggesa pemimpin, penderma, sektor swasta dan komuniti saintifik di seluruh dunia untuk menyokong usaha penting ini bagi memenangi perang terhadap Covid-19,” katanya dalam ucapannya.
Program yang disiarkan secara langsung itu, dengan Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus selaku moderator, turut menyaksikan penyertaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen.
Peserta lain termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa; Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez Perez-Castejon dan Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte.
Muhyiddin, yang juga pengerusi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), menegaskan tidak pernah berlaku sebelum ini bahawa gesaan jelas untuk memastikan tiada siapa yang tercicir adalah lebih penting berbanding sekarang.
“Dunia perlu saling bekerjasama untuk menyelaraskan usaha kita dan menyegerakan pembangunan peralatan penting untuk menghentikan penularan penyakit ini.
“Peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kekal sebagai satu daripada modaliti terkuat kita untuk membendung pandemik ini dalam cara yang dapat memastikan bahawa senjata dalam perang ini yang kita berjuang boleh sampai kepada setiap orang, di mana sahaja dan dalam waktu sesingkat mungkin” katanya.
Menyatakan beliau berbesar hati untuk menyertai seruan penting global itu, Perdana Menteri menegaskan Covid-19 “telah memberikan kesan terhadap kehidupan kita dan ekonomi global dalam cara yang belum pernah dialami dalam sejarah kehidupan”.
“Satu-satunya cara kita boleh memusnahkan musuh bersama yang tidak kelihatan ini adalah menerusi solidariti dan kerjasama,” katanya.