Elaun COVID-19 : Ketua Jabatan Diberi Kuasa Buat Penilaian

Ketua Jabatan akan diberi kuasa untuk melakukan penilaian secara menyeluruh bagi pemberian elaun khas terhadap petugas kesihatan negara.

Perkara itu diputuskan Kementerian Kesihatan bagi menghargai pengorbanan dan komitmen pegawai dan anggota kesihatan, yang tidak berbelah bahagi membendung penularan COVID-19

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata penurunan kuasa kepada Ketua Jabatan itu adalah bagi memudahkan lagi pemberian elaun khas itu.

Katanya, ketika ini terdapat perbezaan dari segi penentuan pegawai yang layak menerima elaun khas itu di peringkat fasiliti kesihatan di seluruh negara.

“KKM amat prihatin dan sentiasa mengambil perhatian mengenai pandangan daripada banyak pihak yang diterima menerusi pelbagai saluran termasuk media sosial.

“Ada yang memberi pandangan agar KKM meneliti semula pelaksanaan pemberian elaun khas petugas kesihatan, khususnya bagi memudah cara proses pemberian dan syarat kelayakan elaun khas ini kepada pegawai dan anggota kesihatan tertentu yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Adham turut berkata, selain penurunan kuasa kepada Ketua Jabatan, langkah penambahbaikan juga akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat ini.

“KKM amat berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin demi memastikan KKM terus fokus malah pegawai serta anggota kesihatan lain kekal dan saling menyokong antara satu sama lain dalam menangani dan membendung penularan wabak COVID-19,” katanya. – Berita Harian

BBerkaitan

Latest articles