PETALING JAYA: Program NutriSEL anjuran Kerajaan Negeri Selangor kini memberi manfaat kepada seramai 106,000 pelajar di 932 sekolah di seluruh negeri bagi memastikan golongan memerlukan mendapat akses kepada makanan bergizi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan program yang kini memasuki minggu ketiga itu melibatkan peruntukan RM14 juta bagi tempoh tiga bulan iaitu Ogos, September dan Oktober.
Beliau menjelaskan, program pemberian makanan bermutu dua kali seminggu itu disasarkan khas kepada murid dan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
”Daripada keseluruhan kira-kira satu juta pelajar di Selangor, dianggarkan 40 hingga 45 peratus berada dalam kategori B40. menerusi NutriSEL, kita bantu kira-kira 100,000 pelajar, manakala 55,000 lagi menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada Kerajaan Persekutuan.
”Gabungan kedua-dua program ini membolehkan sekitar 150,000 hingga 160,000 pelajar atau hampir 15 peratus daripada keseluruhan murid di Selangor menikmati bantuan makanan berkhasiat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Pelaksanaan Program NutriSEL di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Medan, di sini.
Mengulas mengenai Daerah Pendidikan Petaling Utama, Amirudin memberitahu sebanyak 84 sekolah dengan lebih 6,000 pelajar terlibat dalam program berkenaan.
Jelasnya, kualiti dan kesegaran makanan sentiasa dipastikan kerana pihak kerajaan negeri berurusan terus dengan pengusaha kantin sekolah, bukannya pembekal luar.
”Pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menilai prestasi pengusaha kantin. Pada masa sama, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) menerima laporan harian bagi memantau kualiti, keberkesanan serta kaedah penyampaian makanan.
”Langkah ini bukan sahaja menjamin keselamatan dan kesegaran makanan, malah memberi tenaga serta tahap kesihatan yang baik untuk pelajar menumpukan perhatian kepada pelajaran,” katanya.
Tambah beliau, sebahagian pelajar penerima NutriSEL juga merupakan peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang memerlukan bekalan makanan sebelum menyertai kelas tambahan sebelah petang.










