10 Teras Dalam Manifesto BN Dengan 90 Tawaran Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Manifesto gabungan itu terdiri daripada 10 teras dengan lebih 90 tawaran, dengan mengambil kira seluruh kepentingan lapisan masyarakat.

Apatah lagi ia disifatkan sebagai ‘penawar’ kepada kesengsaraan rakyat selepas ditadbir Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) selepas 2018 yang lalu.

“Apabila rakyat sekali lagi memberikan dukungan secara dominan kepada calon BN dan kita akan menghidangkan banyak tawaran dalam manifesto yang akan dibentangkan.

“Insya-Allah kita akan lihat bila manifesto ini dihidangkan ia akan ada lebih 10 teras dan akujanji untuk pengundi.

“Malah kita akan tawarkan lebih 90 perkara untuk rakyat pelbagai pelbagai golongan daripada kumpulan minoriti hingga kumpulan majoriti. Insya-Allah kerajaan Barisan Nasional akan memberikan keprihatinan kepada rakyat semua pihak,” kata Ahmad Zahid ketika berucap di Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran (SKK) dan pelancaran Jentera Barisan Nasional Pahang, hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan yang lain.

Lebih lanjut Ahmad Zahid mengingatkan semua pihak di dalam BN supaya gabungan ini menjadi dominan dan kuat di dalam Dewan Rakyat dengan majoriti yang besar.

BN perlu mengikut jejak kejayaan yang dikecapi oleh parti itu pada PRU11 yang memperlihatkan BN mendapat kemenangan mutlak dengan majoriti lebih dua pertiga sehingga menjadikan suara pembangkang ‘kerdil’.

Menurut beliau, jumlah ahli pembangkang yang ramai bukan hanya menggugat kestabilan tetapi turut mengganggu pembangunan negara.

“Kita mahu mewujudkan sebuah negara Malaysia yang demokratik namun suara pembangkang yang terlalu kuat akan menggugat kestabilan politik di negara kita. Ini akan mengganggu kemakmuran yang dirancang oleh kerajaan,” kata Ahmad Zahid.

BBerkaitan

Latest articles