KUALA LUMPUR: Misteri bau busuk dari sebuah rumah di Semenyih membawa kepada penemuan mengejutkan apabila polis menemukan dua mayat terbaring di ruang tamu, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 8.43 malam daripada seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun, yang juga adik kepada salah seorang mangsa.
“Pengadu mengesyaki sesuatu apabila terhidu bau busuk dari rumah kakaknya, seorang wanita berusia 53 tahun, yang tinggal bersama anak saudaranya berusia 25 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Naazron, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa sudah hampir 10 hari tidak kelihatan di kawasan kejiranan mereka.
Dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pintu rumah terpaksa dipecahkan sebelum menemui kedua-dua tubuh tidak bernyawa itu.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang kesan geledah dan pintu rumah berkunci dari dalam,” tambahnya.
Beberapa barangan kes turut dirampas bagi membantu siasatan, namun setakat ini tiada tangkapan dibuat.
Polis kini giat mengambil keterangan daripada ahli keluarga serta saksi lain untuk membantu siasatan, manakala motif kejadian masih dalam siasatan.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang dan bedah siasat yang dijalankan jam 2.30 petang tadi mengesahkan punca kematian akibat sesak nafas.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan R K Umesh di talian 012-6114900 atau mengunjungi balai polis berhampiran.