Zambry Tegur Yeo Bee Yin: Jangan Meraikan Penderitaan Orang Lain

KUALA LUMPUR: Setiausaha Barisan Nasional, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, menegur tindakan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, yang didakwa seolah-olah ‘meraikan’ keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung Titah Adendum.

Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi menyifatkan tindakan wakil rakyat DAP itu sebagai tidak wajar kerana keputusan mahkamah berkenaan melibatkan penderitaan serta kesan besar terhadap individu terbabit dan ahli keluarganya.

Menurut beliau, tidak sepatutnya sebarang keputusan berkaitan nasib seseorang diraikan seolah-olah ia satu kemenangan politik.

“Mengapa perlu diraikan? Jangan meraikan penderitaan orang lain. Hidup ini umpama satu kitaran dan setiap pemimpin juga tidak terlepas daripada kesilapan,” katanya menerusi satu kenyataan ringkas di media sosial, hari ini.

Teguran itu dibuat susulan satu hantaran dimuat naik oleh Yeo Bee Yin yang dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

Dalam hantaran tersebut, beliau menulis: “Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini,” beberapa jam selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum berkenaan tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu.

Berikutan keputusan itu, mahkamah memerintahkan Najib untuk meneruskan baki hukuman penjara di Penjara Kajang seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Politik kepada Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, iaitu Razlan Rafii, turut mengecam hantaran berkenaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu menyifatkan kenyataan Yeo Bee Yin sebagai satu penghinaan terhadap Najib dan tidak sensitif terhadap perasaan pihak terlibat.

Sementara itu, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan bekas perdana menteri itu kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan akan meneliti langkah perundangan seterusnya.

BBerkaitan

Latest articles