Zahid: Rancangan Pendidikan Negara Lonjakan Besar, TVET Diarusperdanakan

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Rancangan Pendidikan Negara dan Pelan Pendidikan Tinggi Negara sebagai satu lonjakan besar dalam usaha melakukan pembaharuan menyeluruh sistem pendidikan negara.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara dan Pelan Pendidikan Tinggi Negara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Menurut beliau, kerajaan memperlihatkan komitmen jelas apabila mengembalikan pelaksanaan ujian dan penilaian sebagai sebahagian daripada penambahbaikan sistem pendidikan.

“Di peringkat sekolah rendah, ujian telah dimulakan di Darjah 4, manakala bagi sekolah menengah pula, pelaksanaannya bermula di Tingkatan 3. Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memperkukuh asas pembelajaran murid,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mengalami perubahan besar apabila pendedahan terhadap TVET dan STEM diberikan seawal Tingkatan 1.

“Pendekatan ini merupakan langkah terbaik dalam membentuk minat dan kemahiran pelajar lebih awal, selari dengan keperluan industri,” katanya.

Mengulas mengenai pendidikan tinggi, beliau berkata anjakan yang dibuat bertujuan memastikan tidak berlaku ketidakpadanan atau mismatching antara bidang pengajian dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan.

“Penyelarasan telah dilakukan dengan sebaik-baiknya supaya graduan yang dihasilkan benar-benar memenuhi kehendak alam pekerjaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata penekanan turut diberikan terhadap penguasaan Bahasa Melayu dan Sejarah, termasuk keperluan pengambilan mata pelajaran tersebut di sekolah agama dan Maahad Tahfiz, selain melibatkan sekolah-sekolah pondok dalam sistem pendidikan nasional.

Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa tahap kebolehkerjaan atau employability lepasan TVET menunjukkan peningkatan ketara daripada 91.5 peratus kepada 99.5 peratus, berdasarkan laporan terkini.

“Ini merupakan satu lonjakan yang amat baik dan membuktikan TVET akan diarusperdanakan melalui pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles