Zahid: Perubahan Pendirian Selepas Pilihan Raya ‘Lumrah Politik’

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akhirnya bersetuju untuk menyertai Kabinet Sabah bagi memastikan kestabilan politik dapat dicapai selepas keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya menang 29 kerusi, jumlah yang tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak membawa kepada persetujuan bersama supaya BN turut serta menerajui pentadbiran negeri kali ini.

Menurutnya, langkah berkenaan selari dengan semangat kerajaan perpaduan di Putrajaya dan perlu diterima demi kepentingan politik Sabah.

“Atas dasar kestabilan, BN dan GRS sependapat untuk memulakan pembentukan kerajaan perpaduan, termasuk penyertaan lima ADUN Bebas yang asalnya bersama GRS,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perbincangan Cyberjaya 2025 di KLCC, hari ini.

Zahid mengulas demikian ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa 12 ADUN GRS dan Bebas tidak berpuas hati dengan keputusan menerima BN dalam kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

Jelasnya, perubahan pendirian selepas PRN17 adalah lumrah dalam dunia politik.

“Walaupun BN tidak bergandingan dengan GRS ketika pilihan raya, realiti politik selepas itu berubah dan kita tidak boleh kekal jumud,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan menolak sikap angkuh dalam politik.

“Penyertaan BN adalah demi kesejahteraan rakyat Sabah. Politik itu pragmatik dan keutamaan kita ialah kestabilan untuk rakyat Negeri Di Bawah Bayu,” tambah beliau.

BBerkaitan

Latest articles