Zahid Beri Isyarat ‘Gelombang Biru’ BN-PN Bakal Gegar Melaka

SEREMBAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan awal bahawa gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) sedia meluaskan penguasaan politik mereka ke Melaka selepas berjaya menawan Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga.

​Beliau menyifatkan kejayaan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan malam tadi sebagai bukti kukuh penerimaan rakyat terhadap manifestasi perpaduan baharu yang dibawakan kedua-dua gabungan tersebut.

​Menurutnya, permuafakatan yang terbentuk itu melahirkan satu ‘gelombang’ politik baharu yang diyakini bakal berlanjutan ke negeri-negeri lain.

​”Mandat dan keputusan ini akan turut membawa satu gelombang untuk kami meneruskan gelombang ‘biru’.

​”Gelombang ini telah bermula di Negeri Johor, insya-Allah ianya akan menular ke Negeri Sembilan dan seterusnya (sasaran) kita ke Negeri Melaka,” katanya di sidang media pengumuman keputusan PRN Negeri Sembilan di Command Centre BN, malam tadi.

​Hadir sama pada sidang media berkenaan ialah Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Panglima Mohd Nassuruddin Daud.

​Ahmad Zahid menegaskan, kejayaan menembusi benteng majoriti dua pertiga di Negeri Sembilan melalui gabungan 18 kerusi BN dan tujuh kerusi PN bukti jelas rakyat mendahagakan kestabilan politik.

​Bagaimanapun, beliau mengingatkan seluruh jentera parti agar tidak mendabik dada atau bersikap sombong dengan pencapaian tersebut, sebaliknya fokus memberikan perkhidmatan terbaik.

​”Kemenangan ini bukan alasan untuk kita mendabik dada, angkuh atau sombong.

“Sebaliknya, kemenangan dan mandat ini mesti dibalas dengan kerja keras, pentadbiran berwibawa serta khidmat terbaik kepada seluruh rakyat,” katanya lagi.

​Isyarat tumpuan ke Melaka itu sekali gus menandakan kesediaan jentera BN dan PN untuk terus mengukuhkan kerjasama politik bagi menghadapi landskap pilihan raya yang seterusnya.

BBerkaitan

Latest articles