MELAKA: Enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang pernah melabel rakan mereka sebagai pengkhianat kerana menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, kini duduk semeja menandatangani perjanjian sokongan dengan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan itu memperlihatkan percanggahan pendirian apabila pihak yang pernah mengecam tindakan enam Ahli Parlimen berkenaan kini turut mengambil langkah sama demi mendapatkan peruntukan.
Menurutnya, perjuangan politik tidak seharusnya dijual beli dengan tawaran peruntukan sehingga prinsip yang pernah dipertahankan sanggup diketepikan.
“Dulu tuduh sebagai pengkhianat, akhirnya kononnya pula sama-sama meneruskan perjuangan yang ada, demi nak mengejar peruntukan sahaja.
“Begitu murahnya harga perjuangan, boleh dijual beli dengan tawaran-tawaran begini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Bukit Katil, di sini, malam tadi.
Wan Saiful yang mewakili Presiden Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata beliau sendiri pernah menerima tawaran berkaitan peruntukan, namun memilih untuk tidak menggadaikan prinsip perjuangan.
Katanya, tawaran itu turut disertai tekanan supaya beliau membantu memperkukuh PN.
“Kalau nak jual perjuangan ini, saya antara yang awal boleh buat. Tetapi itulah yang berlaku pada hari ini, mereka sanggup buat begitu,” katanya.
Beliau berkata, keadaan semasa menimbulkan persoalan apabila pihak yang pernah mengecam tindakan berkenaan kini turut menandatangani perjanjian sokongan dengan kerajaan PH.
Wan Saiful turut mendakwa tindakan Bersatu membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sehingga menyebabkan pendaftaran PN digantung menunjukkan percanggahan dalam pendirian parti itu terhadap gabungan berkenaan.
Menurutnya, PN perlu memperkukuh kerjasama antara parti komponen bagi memastikan gabungan itu mampu memenangi PRN Melaka dan seterusnya membuka laluan untuk mengambil alih pentadbiran negara.
Beliau turut menggesa semua parti komponen PN mengetepikan perbezaan pandangan berhubung pembahagian kerusi dan menerima keputusan rundingan yang telah dibuat.
Katanya, semua calon yang diumumkan perlu melihat pencalonan sebagai amanah untuk mewakili suara rakyat, bukannya ruang untuk berbangga atau bersikap angkuh.
“Apabila keputusan telah dibuat, malam ini kita akan mengumumkan calon-calon kita, saya harap, baik daripada mana-mana parti dalam PN sekalipun, kita terima keputusan itu.
“Kita pertahankan perpaduan, kita pastikan berlaku penyatuan supaya negeri Melaka ini akan kita menangi dan ia menjadi jambatan untuk kita mencapai kemenangan di Putrajaya nanti,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi PN, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta pimpinan tertinggi parti komponen gabungan itu.










