Kuala Lumpur,- YTL Communications Sdn Bhd (“YTL Communications”) telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) strategik dengan Equinix Inc., sebuah syarikat infrastruktur digital terkemuka dunia, dan Transcelestial, peneraju teknologi komunikasi laser. Kerjasama ini bertujuan untuk membawa penyelesaian teknologi terkini kepada perniagaan di Malaysia dengan meningkatkan kapasiti ketersambungan dan kebolehan AI di seluruh negara secara mampan.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Wing K. Lee, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Bruce Owen, Presiden Equinix EMEA, dan Dinesh Kumaran, Ketua Jualan Transcelestial. Majlis menandatangani MoU ini turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Dato’ Sri Dr. Chee Hong Leong, Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sempena Kongres Dunia Mudah Alih (Mobile World Congress) 2025 di Barcelona, Sepanyol.
Menurut Wing K. Lee, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, “Sebagai peneraju dalam 5G dan AI, kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap kemajuan teknologi di Malaysia. Kerjasama ini akan mempercepatkan penerimaan AI dan transformasi digital negara dengan melengkapkan perniagaan dengan ketersambungan bertaraf dunia dan infrastruktur lestari.”
Mendayakan Akses Awan AI Global dengan Infrastruktur Digital Berprestasi Tinggi
YTL Communications akan memanfaatkan rangkaian global Equinix untuk menghubungkan YTL AI Cloud yang canggih kepada perniagaan antarabangsa. Ini akan membolehkan akses yang boleh dipercayai dan selamat kepada perkhidmatan GPU-as-a-Service bagi menyokong keperluan pengkomputeran AI. Seluruh operasi YTL AI Cloud dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui sepenuhnya di Taman Pusat Data Hijau 500MW YTL, sejajar dengan trend pembangunan AI yang bertanggungjawab secara global.
David Bate, Naib Presiden Kanan Jualan Asia-Pasifik Equinix, menyatakan, “Dengan pusat data moden dan lestari, AI sedang memacu ekonomi moden dan mengubah kehidupan kita. Kami teruja dengan kerjasama ini yang akan memberikan perniagaan di Malaysia akses kepada ekosistem awan dan AI global kami.”

Menaiktaraf Ketersambungan Menara Sel dengan Teknologi Laser
YTL Communications turut menjadi syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi komunikasi laser tanpa wayar Transcelestial untuk meningkatkan ketersambungan dengan keupayaan fibre-class yang fleksibel. Peranti CENTAURI milik Transcelestial menawarkan penyebaran ketersambungan berkapasiti tinggi tanpa memerlukan kabel fizikal, sekaligus menyelesaikan cabaran sambungan di kawasan sukar diakses.
Rohit Jha, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Transcelestial, berkata, “Kerjasama dengan YTL Communications akan mempercepatkan aspirasi digital negara sambil membolehkan kelajuan sambungan seperti fibre, meningkatkan daya tahan dan fleksibiliti infrastruktur rangkaian.”

Pemangkin Transformasi Digital Negara
Kerjasama strategik ini sejajar dengan misi YTL Group yang selama lebih 70 tahun telah menyumbang kepada pembangunan negara melalui infrastruktur fizikal dan digital. Dengan pelaburan dalam Taman Pusat Data Hijau 500MW YTL dan Cloud AI pertama di Malaysia, YTL Communications terus memainkan peranan utama dalam transformasi digital negara.