Warga Emas Buat Seks Luar Tabii Dengan Kambing Betina Dipenjara Enam Tahun

KUALA KUBU BHARU: Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap seorang lelaki yang melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina di belakang rumah jirannya, Julai lalu.

Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu ke atas Shaari Hasan, 60, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes hari ini.

Untuk rekod, tertuduh turut mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes cabul.

Hakim juga mengarahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas keluar dari penjara, selain mendapatkan khidmat kaunseling.

Menerusi prosiding hari ini juga, hakim juga menyoal punca kematian kambing berkenaan dan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Noor Harun, menyatakan ia adalah disebabkan kegagalan paru-paru.

Lebih lanjut, tertuduh juga mengesahkan barang kes termasuk gambar kambing, pakaian miliknya yang dirampas semasa kejadian iaitu sehelai baju T berwarna hijau dan seluar panjang berwarna coklat.

Pada 27 Julai lalu, lelaki berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Buaya, Rawang, pada 1.33 tengah hari, mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Kejadian itu disedari seorang wanita berusia 45 tahun yang terdengar bunyi mengembek dari kandang kambing yang terletak di belakang rumahnya.

Wanita berkenaan yang pergi ke kandang kambing itu mendapati, seorang lelaki yang dikenalinya berada dalam keadaan separuh bogel, bangun dari sebelah kambing milik wanita itu.

Selepas menyedari kehadiran wanita terbabit, suspek melarikan diri dan hasil pemeriksaan mendapati, kambing betina yang menjadi mangsa lelaki itu telah mati.

Peguam yang mewakili tertuduh, Muizzudin Schanni Feizal Maurice Feizal memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara dari tarikh tangkap, dengan alasan tertuduh menyesal dengan perbuatannya selain hukuman berpatutan terhadap tertuduh.

“Tertuduh warga emas dan tinggal sebatang kara, memandangkan seksyen ini memperuntukkan hukuman sebat, mohon hukuman itu (sebat) tidak dikenakan berikutan tertuduh seorang warga emas,” kata peguam itu.

BBerkaitan

Latest articles