UTM Jamin Kerjasama Penuh Susulan Kes Kematian Syamsul Haris Diklasifikasi Sebagai Kes Bunuh

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menegaskan komitmen penuh untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam siasatan lanjut berhubung kematian Allahyarham Syamsul Haris Shamsuddin, susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan semula kes itu.

Dalam kenyataan rasmi, UTM menekankan bahawa universiti tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu jika terbukti terlibat, selain terus berpegang kepada prinsip ketelusan dan kedaulatan undang-undang.

UTM turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menggesa orang ramai, termasuk warga kampus, untuk menghentikan spekulasi sehingga siasatan selesai.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan bahawa siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan membunuh, selaras dengan arahan AGC.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), manakala bedah siasat kedua mendapati punca kematian berpunca daripada kecederaan pada bahagian leher.

Kertas siasatan akan dirujuk semula kepada AGC setelah semua pihak yang terlibat dikenal pasti.

BBerkaitan

Latest articles