KUALA LUMPUR: Presiden Umno Zahid Hamidi berkata parti itu akan menggunakan lambang ‘dacing’ pada PRU16, walaupun sebelum ini ada pandangan supaya ia menggunakan ‘keris’ pada pilihan raya akan datang.
Beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, persetujuan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pimpinan dan akar umbi.
Bagaimanapun, Zahid berkata Umno tidak menolak bekerjasama dengan 18 parti dalam kerajaan perpaduan pada PRU16, supaya tidak berlaku pertindihan kerusi antara satu sama lain.
“Saya setuju saranan kepimpinan akar umbi dalam PRU akan datang harus gunakan lambang dacing. Namun tak menolak kolaborasi dengan 18 parti dalam kerajaan perpaduan supaya tak berlaku pertindihan kerusi dan kerjasama gamit sokongan pengundi pelbagai kaum.
Mesti lakukan sekarang kita tak mahu keserasian hanya ketika PRU. Itu lima tahap pesanan saya berikan dalam taklimat presiden tadi katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Persidangan UMNO 2024 yang bermula hari ini bermula dengan perasmian persidangan sayap-sayap UMNO oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan pada sebelah malam.
Perhimpunan Agung UMNO berlangsung bermula hari ini hingga 24 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur melibatkan seramai 6,433 perwakilan dari seluruh negara.