BANGI — Bagi melestarikan warisan budaya Melayu dalam kalangan generasi muda, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan *Program Kem Budaya ATMA 2025: Pengembaraan Abadi@Istana*.
Program yang berlangsung di Hab Warisan Digital Istana Puteri Bongsu, UKM Bangi itu disertai 62 pelajar berusia 7 hingga 15 tahun dari Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, dan Johor.
Penganjuran program ini merupakan inisiatif ibu bapa dan guru yang prihatin terhadap pemeliharaan budaya dan identiti Melayu dalam kalangan generasi muda.
Langkah ini dilihat sebagai satu usaha penting dalam memastikan generasi Alpha, yang lahir selepas tahun 2010 dan membesar dalam era digital, terus mengenali dan menghargai akar budaya mereka kata Institut itu dalam satu kenyataan.
Tambah Institut itu lagi, Tanpa usaha berterusan, terdapat kebimbangan bahawa generasi ini akan kehilangan jati diri berasaskan warisan budaya Melayu.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk sesi penerangan mengenai seni bina Melayu dengan tumpuan kepada Istana Puteri Bongsu, pameran seni kelingkan, pembuatan kuih tradisional, penghasilan pantun Melayu, permainan tradisional, pengenalan kepada tumbuhan masakan Melayu serta pembelajaran tarian zapin.
Sementara itu, Program itu menerima maklum balas positif daripada peserta dan ibu bapa. Rata-rata peserta menyatakan bahawa program ini berupaya membentuk semangat kecintaan terhadap warisan budaya dan berharap agar ia diadakan secara tahunan bagi memastikan kesinambungan usaha pemeliharaan budaya Melayu.
Pemerkasaan budaya Melayu dalam kalangan generasi Alpha dilihat sebagai tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama ibu bapa, guru, dan masyarakat. Dengan pendekatan kreatif dan inovatif, warisan budaya Melayu dapat terus dipertahankan dan diwariskan kepada generasi akan datang katanya.