PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, memaklumkan ujian penuh terhadap perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya yang terjejas akan dilakukan esok bagi menilai sama ada ia selamat untuk dibuka semula kepada pengguna.
Ka Siong berkata, pasukan pakar daripada pihak pengilang dari luar negara sudah berada di sini bagi memantau pelaksaan ujian berkenaan.
“Tren akan diuji sepanjang hari tanpa penumpang. Kemudian pada waktu yang sama MOT melalui agensinya APAD, (Agensi Pengangkutan Awam Darat) dengan pasukan khas melakukan pemeriksaan keselamatan penggunaan tren LRT berdasarkan pengisytiharan pihak pakar.
“Kalau pakar mengatakan ia selamat dan stabil untuk digunakan tanpa syak wasangka, maka perkhidmatan akan kembali beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas sesi taklimat perkembangan semasa penambahbaikan LRT Laluan Kelana Jaya, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Mohd Azharuddin Mat Sah dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Amir Hamdan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya semua tren LRT laluan berkenaan disahkan stabil dan selamat untuk kembali beroperai, pihak Prasana bakal membuat pengumuman pada pukul 6 petang bagi memudahkan pengguna mendapatkan informasi awal dan membuat persediaan.