Tuduh Masuk Campur Kes Ahmad Zahid Umpama PM Tak Ada Kerja Lain

KUALA LUMPUR: Masyarakat di negara ini, terutama yang mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini dalam melepaskan tanpa membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan rasuah digesa memahami peruntukan perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menegaskan keputusan itu tiada kaitan dengan kuasa eksekutif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, ia adalah kuasa Peguam Negara (AG) mengikut perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Peguam Negara ada kuasa di bawah Perkara 145 untuk dakwa atau tidak, untuk meneruskan atau menggugurkan (sesuatu pertuduhan).

“Itu kuasa yang ada dalam Perlembagaan. Sebab itu saya menolak dan menangkis sebarang tuduhan dan andaian bahawa tindakan apa pun yang dibuat oleh Peguam Negara, semuanya diletakkan di bahu Perdana Menteri.

“Ini seolah oleh Perdana Menteri tiada kerja lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di Taman Angerik, malam tadi.

Perkara 145 antara menyatakan Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

Saifuddin turut mengulas kenyataan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang menggesa reformasi institusi.

Jelasnya, pada ketika ini kuasa untuk melantik Peguam Negara adalah atas perkenan Yang Dipertuan Agong berdasarkan cadangan ketua eksekutif.

“Ini bukannya pertama kali, kita ini mewarisinya sistem sudah berjalan. Kalau ada apa-apa usul untuk mengubah keadaan sekarang, caranya adalah seperti dicadangkan oleh saudara Wong Chen. Kita akan tengok daripada situ dan saya tak ada sebarang komen lebih daripada itu.

“Buat masa sekarang sistem yang ada begitu,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles