KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyangkal tuduhan Rafizi Ramli yang mendakwa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam proses meluluskan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion.
Tuan Ibrahim menegaskan, bahawa beliau tidak pernah meluluskan apa-apa peruntukan dari mana-mana projek setelah Parlimen dibubarkan.
Justeru itu, beliau mencabar Rafizi Ramli untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung tuduhan tersebut.
“Beliau (Rafizi) dakwa kononnya saya nak luluskan projek pihak tertentu. Dia nak cerita apa? Dia nak fitnah apa? Dia kata ada pihak tertentu minta Menteri KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air) lulus peruntukan RM2 bilion dalam tempoh ‘caretaker government’ (kerajaan sementara).
“Beliau ingat saya tidak tahu peraturan? Mana boleh lulus peruntukan dalam tempoh kerajaan sementara,”
“Saya nak tegaskan bahawa fitnah ini tak betul, sebab itu saya minta supaya kalau ada kes ada bukti, reportlah. Jangan buat fitnah musim ini,” katanya dalam satu ceramah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka di Pahang, malam tadi.
Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas itu menegaskan, tidak ada mana-mana pihak datang berjumpa dengannya untuk minta luluskan peruntukan RM2 bilion bagi projek terbabit.
“Mungkin dia (Rafizi) tak sebut secara direct. Cuma dia kata ada pihak-pihak tertentu cuba desak menteri untuk lulus. Pihak mana? Kalau ada pihak nak suruh desak, tak pernah jumpa pun saya, untuk desak,” katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menjawab mengenai tuduhan projek menaik taraf kolam tebatan banjir Krubong-Durian Tunggal untuk kerja-kerja secara tender terhad (atau selektif) adalah melalui proses tender biasa mengikut prosedur kewangan dan tidak ada isu yang timbul.
Tegasnya, beliau tidak pernah campur tangan dalam sebarang tender bagi projek di kementerian.
“Bagi saya, urusan tender ada jawatankuasa yang uruskan, saya tak nak terlibat dan saya tak pernah tanya pun.
“Ketua Setiausaha di kementerian ikut prosedur dan peraturan. Siapa yang layak, siapa yang dapat (tender), proceed (teruskan),” katanya.
Semalam, media melaporkan Rafizi mendakwa KASA dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat dimiliki individu dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.
Rafizi mendakwa dimaklumkan sumber dalam kerajaan yang usaha meluluskan segera projek itu di bawah pentadbiran kerajaan sementara adalah sebagai timbal balas selepas menerima dana untuk digunakan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sehubungan itu, beliau menuntut Tuan Ibrahim menjawab dakwaan berkenaan dan memberi jaminan tidak akan meluluskan sebarang projek dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara, kerana ia bertentangan dengan pekeliling Perbendaharaan.