KUALA TERENGGANU: Tragedi bot penyelamat terhempas ke laut di Kemudahan Penyimpanan dan Pemindahan Terapung (FSO) Sepat dekat perairan Kuala Terengganu, pada Ahad yang mengorbankan tiga pekerja platform minyak akibat kecederaan serius dan lemas.
Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor berkata, hasil bedah siasat mendapati Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, meninggal dunia akibat kecederaan teruk pada bahagian abdomen dipercayai berpunca daripada hentakan kuat ketika insiden berlaku.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, maut akibat kecederaan pada bahagian leher, manakala Ahmad Fiqri Zakaria, 38, disahkan meninggal dunia kerana lemas.
Menurutnya, proses bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa selesai dijalankan antara jam 10 pagi hingga 2.15 petang sebelum jenazah diserahkan kepada waris masing-masing untuk urusan pengebumian.
Dalam kejadian tengah hari itu, empat pekerja dipercayai berada di dalam bot penyelamat berkenaan ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di FSO Sepat yang terletak kira-kira 150 meter dari perairan Kuala Terengganu sebelum bot itu terjatuh ke laut.
Selain tiga mangsa yang terkorban, seorang lagi pekerja, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dilaporkan mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.










