Isu Istana Negeri Sembilan Kembali Hangat – Laporat ST

KUALA LUMPUR: Keadaan politik dan istana Negeri Sembilan mengambil satu pusingan yang mengejutkan susulan laporan bahawa Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, didakwa menandatangani perisytiharan bagi memecat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Munawir, hanya sehari selepas beliau mengangkat sumpah setia kepada baginda.

Mengikut laporan akhbar Straits Times (ST) berpangkalan di Singapura, Ismail telah mengangkat sumpah kesetiaan kepada Tuanku Muhriz semasa majlis angkat sumpah jawatannya pada 2 Ogos. Namun, pada hari berikutnya (3 Ogos), beliau didakwa menandatangani perisytiharan yang menyatakan baginda bukan lagi pemerintah negeri berkenaan.

Perkembangan terkini itu didedahkan melalui satu kenyataan bertarikh 5 Sept oleh empat Undang Yang Empat Negeri Sembilan, yang mempunyai kuasa tradisi untuk memilih dan memecat pemerintah negeri.

Memetik laporan ST, Ismail bertindak balas pada 6 Sept dengan menyatakan bahawa “empat Undang mempunyai hak untuk memberikan pandangan mereka”, tetapi beliau “dan kerajaan negeri menzahirkan kesetiaan penuh kepada Muhriz Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar”. Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan mahupun menafikan sama ada beliau ada menandatangani dokumen perisytiharan tersebut.

Krisis pihak istana di Negeri Sembilan ini dilaporkan mula meruncing sejak April lalu dan kesannya didapati melangkaui skop amalan Adat Perpatih di negeri tersebut.

Kenyataan oleh Undang Yang Empat pada 5 Sept itu mendakwa bahawa Ismail telah mengadakan pertemuan dengan mereka pada 3 Ogos untuk mendapatkan restu serta sokongan bagi pencabar takhta, Tuanku Nadzaruddin Ja’afar, yang merupakan sepupu kepada Tuanku Muhriz.

Sumber memberitahu ST bahawa pimpinan tertinggi UMNO, termasuk Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dan Menteri Undang-Undang Datuk Seri Azalina Othman Said, turut hadir dalam pertemuan tersebut.

Pihak Undang mendakwa Ismail telah menandatangani perisytiharan memecat Tuanku Muhriz bagi membuka jalan kepada pengisytiharan Tuanku Nadzaruddin, putera kepada almarhum pemerintah sebelum ini.

Walau bagaimanapun, sumber undang-undang dan kerajaan memberitahu ST bahawa Ismail mendakwa beliau telah dipaksa menandatangani perisytiharan itu di bawah tekanan dan pimpinan tertinggi UMNO didakwa bekerjasama dengan kumpulan Undang asal berkenaan.

Sumber turut menyatakan bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan itu dijadualkan membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan pada 8 Sept.

Dalam pada itu, Ismail sekali lagi mengulangi sokongan dan kesetiaan penuh kerajaan negeri kepada Tuanku Muhriz pada 6 Sept tanpa mengulas secara terperinci dakwaan pihak Undang.

Sungguhpun berlaku peristiwa pada 3 Ogos itu, Ismail diteruskan dengan majlis mengangkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos.

Sumber turut memberitahu ST bahawa pada 23 Ogos, Ismail telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar. Pertemuan tersebut disifatkan oleh sumber sebagai “luar biasa kerana Menteri Besar Negeri Sembilan tidak mempunyai kaitan terus dengan Johor mahupun Kerajaan Persekutuan melainkan ia melibatkan status pemerintah negeri”.

Di samping itu, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid, dilaporkan telah mempengerusikan satu mesyuarat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Negeri Sembilan pada lewat malam 6 Sept, di mana keputusan dicapai untuk memberikan tempoh tiga bulan kepada Ismail bagi “menyelesaikan kemelut istana berkenaan”.

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh UMNO Negeri Sembilan pada 5 Sept turut menggesa penubuhan “jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan Adat Perpatih Negeri Sembilan”.

Setakat waktu pelaporan, Ahmad Zahid, Asyraf Wajdi, dan Azalina belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk ulasan lanjut.

Pihak Undang dalam kenyataan 5 Sept itu turut menggesa pihak berkuasa dan kerajaan negeri untuk mengambil tindakan bagi memecat Tuanku Muhriz. Walau bagaimanapun, memandangkan Ismail telah menyatakan kesetiaan beliau kepada baginda, status quo dijangka kekal buat masa ini.

Sumber memberitahu ST bahawa perkembangan ini mungkin mendorong pihak Undang untuk mengeluarkan salinan dokumen yang telah ditandatangani itu dalam masa terdekat, di samping penyebaran gambar-gambar pertemuan 3 Ogos di media sosial jelang mesyuarat Majlis Raja-Raja yang dijadualkan berlangsung di Melaka pertengahan Oktober ini.

BBerkaitan

Latest articles