Malaysia Perlu Tingkat Kewaspadaan, Kegiatan Mossad Di Negara Jiran Meningkat 3 Hingga 4 Kali Ganda

GEORGE TOWN: Malaysia tidak boleh memandang ringan ancaman keselamatan serantau apabila kegiatan agensi perisikan Mossad Israel di negara jiran didakwa meningkat sehingga tiga hingga empat kali ganda sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkembangan itu perlu diberi perhatian serius, terutama susulan dakwaan Israel membeli tanah di beberapa lokasi strategik di Thailand termasuk Phuket, Bangkok dan kawasan selatan negara berkenaan.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah diminta memberi penjelasan kepada rakyat mengenai tahap kegiatan Mossad yang didakwa semakin aktif di negara jiran.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia perlu memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan serta meningkatkan kerjasama dengan negara serantau bagi menangani sebarang ancaman yang boleh menjejaskan kepentingan negara.

“Kita kena baik dengan negara jiran supaya dapat tangani hal ini dan keduanya, kita kena waspada supaya kekuatan kita itu ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Semarak Wakaf Perdana 2026 di sebuah hotel di Sungai Nibong, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Anwar menegaskan Malaysia perlu terus mengamalkan hubungan diplomatik yang seimbang dengan kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat (AS), tanpa menggadaikan kedaulatan negara.

Menurutnya, hubungan baik dengan kedua-dua negara penting bagi melindungi kepentingan keselamatan, perdagangan dan pelaburan Malaysia, selain mengelakkan negara daripada berdepan tekanan kuasa luar.

Beliau berkata, kedudukan Malaysia sebagai negara kecil menuntut pendekatan diplomatik yang bijaksana dan bukannya tindakan mencetuskan permusuhan dengan kuasa besar.

Menepis tanggapan kononnya hubungan rapat dengan China mencerminkan keberpihakan, Anwar berkata, hubungan diplomatik itu perlu dilihat dari sudut kepentingan strategik negara.

“Ramai kata saya ejen. Kita ini negara kecil, nak musuh buat apa? Bukan menyerah. Saya tak serah.

“Untuk apa? Untuk jaga supaya negeri kita ini jangan diganggu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles