KUALA LUMPUR: Tiktok oleh Bytedance dan WeChat oleh Tencent, menjadi penyedia perkhidmatan pertama diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), berkata syarikat itu adalah dua daripat empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media utama telah mengambil langkah sigifikan pematuhan kawal selia yang ditetapkan kerajaan bermula 1 Januari 2025.
Katanya, Telgram pula berada di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka mendapat lesen dalam masa terdekat.
“Meta, yang menyelia Facebook, Instagram dan WhatsApp telah memulakan proses untuk memperoleh lesen bagi membolehkan platform mereka beroperasi di dalamnegara, yang dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, X (dahulu dikenali sebagai Twitter) dan Google, yang mengendalikan YouTube, belum menghantar permohonan kepada MCMC.
“Menurut X, jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang lapan juta pengguna yang disyaratkan.
“Ketika ini, MCMC sedang giat menyemak kesahihan jumlah pengguna dan akan meneruskan sesi libat urus bagi menilai kedudukan X,” katanya.
Menyentuh mengenai Google, MCMC berkata, beberapa perkara dibangkitkan syarikat itu antaranya, mengenai ciri-ciri perkongsian video YouTube dan klasifikasinya di bawah Kerangka Pelesenan.
Menurut MCMC, pihaknya telah mempertimbangkan isu-isu tersebut dan akan memastikan YouTube serta penyedia platform lain mematuhi rangka kerja pelesenan yang kini berkuat kuasa.
MCMC turut menegaskan akan menilai status penyedia platform yang masih belum memperoleh lesen yang dikehendaki dan akan mempertimbangkan tindakan yang wajar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, penyedia platform yang didapati melanggar keperluan pelesenan boleh tertakluk kepada siasatan dan tindakan pengawalseliaan.
“Keperluan pelesenan ini menekankan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, mempertingkat perlindungan pengguna terutamanya untuk kanak-kanak dan golongan rentan, serta pada masa yang sama menambah baik pengawasan kawal selia untuk Penyedia Perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia,” katanya.