Tikam Lidah Antara Dua Rakan Berakhir Dengan Insiden Simbah Asid

KUALA LUMPUR: Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap kawan baiknya dengan menggunakan asid sulfurik.

R. Keertana Naidu, 22, juga menghadapi pertuduhan memiliki bahan kakisan atau asid sulfurik dengan niat mendatangkan kecederaan kepada Nurul Husna Rahim, 22, yang juga seorang penuntut sebuah IPTA, di sini.

Wanita itu mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Keertana Naidu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian di sini pada 4.23 petang, 3 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

Dia juga didakwa di bawah Seksyen 3 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan penjara tidak lebih tiga tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh amat serius.

“Terdapat pertikaian masalah yang timbul antara mereka dan tertuduh sanggup datang dari Johor dengan membawa satu botol asid. Ia satu risiko yang tinggi jika tertuduh dijamin,” katanya.

Peguam Azeezi Nordin yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin atas alasan Keertana Naidu merupakan pelajar cemerlang di sebuah universiti di Johor dan bakal menghadapi peperiksaan.

“Malah sebelum ini dia adalah kawan baik serta pernah tinggal sebilik dengan mangsa ketika belajar di Kolej Matrikulasi dan keluarga kedua-dua juga saling mengenali.
“Saya mohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin kerana dia perlu kembali ke universiti untuk sambung belajar,” katanya.

Peguam itu berkata, bapa tertuduh bekerja sebagai agen insurans dengan gaji RM1,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan serta tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Jun depan. – Bernama

BBerkaitan

Latest articles