KUALA LUMPUR: Tiga anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan hari ini kembali mengangkat sumpah sebagai Senator bagi menyambung penggal kedua perkhidmatan mereka di Dewan Negara.
Mereka ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Upacara angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, dengan pelantikan mereka berkuat kuasa serta-merta sehingga 2 Disember 2028.
Awang Bemee dalam ucapannya menzahirkan keyakinan bahawa ketiga-tiga Senator berkenaan mampu meneruskan khidmat dengan penuh profesionalisme dan integriti.
“Bagi pihak Dewan yang mulia ini, saya ucapkan tahniah dan selamat kembali berkhidmat. Jika terus diberikan amanah dalam pentadbiran kerajaan, jalankan tugas dengan berkaliber dan mantapkan lagi peranan Senator di Dewan ini,” katanya.










