Tiga Lelaki Termasuk Dua Pelajar IPT Dihukum Penjara, Denda Kerana Meliwat

MELAKA: Seorang pekerja kilang dan dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dijatuhi hukuman denda berjumlah RM12,500 serta penjara 54 bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan liwat dan cubaan liwat awal tahun ini.

Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah, Abu Bakar Mohd Daud, menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Fahmi Kamarudin, 26; Muhammad Nabil Junaidi, 24; dan Meor Aliff Isqandar Meor Shaharudin, 21; selepas mereka mengekalkan pengakuan bersalah ketika prosiding di Mahkamah Syariah Ayer Keroh, semalam.

Dalam keputusan itu, Mohammad Fahmi dan Muhammad Nabil masing-masing didenda RM4,500 dan dihukum penjara 30 bulan atas kesalahan liwat, manakala bagi cubaan liwat bersama Meor Aliff Isqandar, ketiga-tiganya dikenakan denda RM4,000 serta penjara 24 bulan.

Hakim memerintahkan hukuman penjara terhadap dua tertuduh utama berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan sebenar selama 30 bulan sahaja. Mereka turut diperintahkan menjalani enam bulan tambahan sekiranya gagal membayar denda.

“Mahkamah mengambil kira faktor usia muda tertuduh, pengakuan bersalah dan kerjasama diberikan kepada pihak berkuasa sebelum menjatuhkan hukuman,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Radzwan Abdullah, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut fakta kes, kejadian pertama berlaku pada 11 April lalu di sebuah rumah di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, apabila dua tertuduh utama didapati melakukan liwat sesama sendiri.

Manakala pada 27 Julai 2025, ketiga-tiganya cuba melakukan perbuatan sama termasuk oral seks di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Batu, Bukit Sebukor.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 56 dan 57 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM5,000 atau penjara hingga 36 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan hukuman penjara ditukar kepada Perintah Kehadiran Wajib (PKW) berdasarkan peruntukan Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 (Pindaan 2022).

Melalui keputusan itu, Mohammad Fahmi dan Muhammad Nabil akan menjalani PKW selama 10 bulan, manakala Meor Aliff Isqandar selama lapan bulan, dengan kerja wajib tidak melebihi empat jam sehari.

Ketiga-tiga tertuduh turut diarahkan mendaftar di Pusat Kehadiran Wajib dan menandatangani akujanji pelaksanaan hukuman pada hari sama.

BBerkaitan

Latest articles