Tiada Siapa Kebal, Tengku Permaisuri Norashikin Titah Pegawai PBT Zalim Haiwan Diheret Ke Muka Pengadilan

SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menegaskan mana-mana anggota atau pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang didapati melakukan kekejaman terhadap haiwan perlu disiasat secara menyeluruh dan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Baginda yang juga Penaung Diraja inisiatif Stray Free Selangor (SFS) di bawah kelolaan SPCA Selangor menzahirkan rasa amat dukacita, kecewa dan marah terhadap kejadian membabitkan kekejaman ke atas haiwan peliharaan serta haiwan terbiar, khususnya anjing dan kucing.

Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook Pejabat Diraja Selangor, baginda menegaskan tiada sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan boleh diterima atau dikompromi kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencerminkan kegagalan sesebuah masyarakat mempertahankan nilai belas ihsan.

“Tiada sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan akan diterima atau ditoleransi. Tidak kira siapa pelakunya, apa jawatannya, bangsa, agama atau apa juga alasan yang diberikan.

“Ia terpakai kepada semua pihak sama ada individu, organisasi, syarikat, agensi kerajaan mahupun pihak berkuasa. Tiada sesiapa berada di atas undang-undang,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan mana-mana pihak yang didapati melakukan kekejaman terhadap haiwan, termasuk pegawai penguat kuasa, mesti disiasat secara adil dan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.

Menurut baginda, keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan hanya dapat dipelihara sekiranya setiap tindakan dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berperikemanusiaan, bukannya melalui kekerasan yang mengakibatkan penderitaan kepada haiwan.

Dalam masa sama, Tengku Permaisuri Norashikin menyeru agar kerjasama antara kerajaan, PBT, pertubuhan kebajikan haiwan dan masyarakat diperkukuhkan bagi memperluaskan pendekatan lebih berperikemanusiaan dalam pengurusan kebajikan haiwan.

Baginda juga menggesa kerajaan Persekutuan menilai semula hukuman di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 supaya hukuman terhadap pelaku kekejaman diperketat serta penguatkuasaannya dilaksanakan secara lebih konsisten.

“Cara kita melayan haiwan mencerminkan siapa diri kita sebagai manusia. Sebuah masyarakat yang gagal menunjukkan belas ihsan kepada makhluk yang paling lemah akhirnya akan kehilangan nilai belas ihsan terhadap sesama manusia,” titah baginda.

Titah itu hadir ketika isu kematian seekor anjing peliharaan bernama Rocky di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang terus mendapat perhatian ramai.

Sebelum ini, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mempertahankan tindakan pegawainya dengan memaklumkan pemilik anjing terbabit bertindak agresif apabila cuba memotong tali gelung yang digunakan untuk menangkap haiwan itu serta mengugut mencederakan diri sendiri sekiranya Rocky tidak dilepaskan.

Menurut MBDK, keadaan yang menjadi kecoh menyukarkan pegawai melonggarkan tali berkenaan sebelum anjing itu disahkan mati kira-kira jam 10.50 malam pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Polis Klang Selatan, Lim Jit Huey mengesahkan polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan membunuh haiwan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles