Tiada Lagi Logo PKR Di Laman Web Liberal International

KUALA LUMPUR: PKR tidak lagi disenaraikan sebagai ahli Liberal International seperti yang dipaparkan di dalam laman sesawang organisasi itu baru-baru ini.

Dalam pada itu hanya tujuh parti atau pertubuhan membabitkan Asia masih berada dalam senarai organisasi itu.

Terdahulu PKR dikecam kerana menjadi ahli dalam organisasi parti politik liberal antarabangsa yang didakwa mempunyai kaitan menyokong Israel.

Liberal International adalah sebuah organisasi parti politik liberal di seluruh dunia yang diasaskan di Oxford pada 1947 dan menjadi rangkaian utama bagi parti liberal yang bertujuan untuk mengukuhkan liberalisme di seluruh dunia.

Semalam, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil memaklumkan, beliau telah berhubung dengan pihak Liberal International untuk meminta nama dan logo parti itu dikeluarkan daripada laman sesawang organisasi berkenaan.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital itu, PKR tidak pernah menjadi ahli pertubuhan antarabangsa tersebut.

Tegasnya, PKR juga sedang meneliti langkah seterusnya berhubung tohmahan jahat yang dilemparkan terhadap parti tersebut.

Tambah beliau, berdasarkan maklum balas yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), lebih 200 kandungan berkaitan Liberal International dikaitkan dengan PKR.

BBerkaitan

Latest articles